Apr 21, 20211 min

PR1MA anjur majlis iftar besar-besaran, pembeli rumah 'ikat perut' bayar ansuran?

Tindakan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) menganjurkan majlis berbuka puasa yang kelihatan besar-besaran dipertikaikan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Akmal Nasir.

Menurut Akmal, tiada salahnya syarikat berkaitan kerajaan itu mahu menganjurkan majlis iftar namun mereka tentunya dikritik rakyat kerana mengabaikan pembeli rumah PR1MA tetapi sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar menganjurkan majlis itu.

"Memang ibadah digalakkan dalam bulan Ramadan, hatta nak jemput ustaz Pas atau Umno, terpulanglah kalau kamu pakai duit sendiri.

"Tetapi janganlah sampai pembeli-pembeli yang teraniaya terasa diabaikan.

"Mereka ikat perut bayar bulan-bulan kepada bank dalam keadaan rumah belum siap, tapi kamu boleh anjurkan pula majlis besar-besaran sebegini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu juga menanyakan kos pengajuran majlis iftar bersama Pengerusi PR1MA itu.

Beliau turut bertanya, bilakah persoalan mengenai projek-projek PR1MA yang lambat siap atau terbengkalai mahu dijawab dan menutup keresahan pembeli.

"Banyak persoalan saya mengenai PR1MA sebelum ini tidak dijawab, maka tolong sebarkan persoalan ringkas ini demi integriti dan keadilan.

"Apabila saya bersuara lantang mengenai mangsa-mangsa rumah PR1MA, saya sangat bersimpati dengan mereka.

"Bukan hanya satu projek bermasalah, tetapi banyak sangat yang ada isu.

"Saya desak dan desak supaya mereka yang bertanggungjawab mengambil pendekatan yang berbeza dan meletakkan nasib serta hak pembeli sebagai keutamaan," katanya lagi.

    0