Jun 17, 20211 min

PM perlu junjung titah Agong, buka Parlimen segera

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dengan membuka Parlimen segera.

Ini seperti apa yang terkandung dalam kenyataan Istana Negara selepas Agong mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam.

“Majlis Presiden turut menjunjung kasih di atas titah Tuanku bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Kami juga mengambil maklum kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen bersidang segera.

“Oleh itu, adalah teramat jelas bahawa Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin,” menurut kenyataan hari ini.

Majlis Presiden PH juga menganggap amat penting Parlimen dibuka semula ketika ini.

“Agar semak imbang tata kelola dan perjalanan pentadbiran Putrajaya dapat dilakukan, Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara dapat dibahas, peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat dapat dibincang dan suara rintihan isi hati rakyat dapat didengar dengan jelas.

“Sekiranya Perdana Menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang Parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Tuanku itu, malah ia memberi gambaran bahawa Perdana Menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir.

“Dan jika Perdana Menteri tetap bertegas enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri,” katanya.

    0