Sep 16, 20211 min

Pinda Perlembagaan, Sabah & Sarawak 'Rakan Setara' Semenanjung

Sabah dan Sarawak perlu menjadi rakan setara Semenanjung dan pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan bersesuaian dengan perkara yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) kerajaan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan.

Menurut Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Perjanjian Malaysia (MA63) amat penting dilaksanakan bagi merapatkan jurang penghidupan antara rakyat Malaysia. Katanya, terdapat 11 perkara dalam MA63, namun yang utama adalah perakuan rakan setara yang membolehkan Malaysia Timur diberi peruntukan daripada hasil bumi di kedua-dua negeri.

Selain itu, Ahli Parlimen Tuaran berkenaan juga mahu sejarah Perjanjian Malaysia diajarkan di sekolah rendah dan menengah secara yang lebih terperinci agar rakyat Malaysia faham hak-hak yang mesti ditunaikan kepada rakan-rakan di Malaysia Timur.

Katanya, rakyat Malaysia sekarang lebih faham mengenai perjanjian Pangkor yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu dan kontrak sosial yang menentukan hak Melayu, Cina dan India berbanding Perjanjian Malaysia 1963 yang sama pentingnya.

    1