Jul 6, 20211 min

Pihak polis pun bantu sahut 'cabaran' Bendera Putih - Akmal

Kempen menaikkan Bendera Putih sekiranya terputus bekalan makanan mendapat respons pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Akmal Nasir, beliau dipanggil ke Balai Polis Larkin semalam oleh ketua balai untuk berbincang mengenai kempen bendera putih, khususnya membantu rakyat yang memerlukan pertolongan.

"Terkejut juga, maka petang tadi (semalam) saya telah ke balai untuk bertemu sendiri dengan Tuan Zulkefli.

"Rupanya beliau ingin berbincang mengenai cabaran bendera putih.

"Pasukan peronda Polis merupakan antara yang paling kerap melakukan rondaan dan mereka juga bersimpati apabila ada rumah-rumah yang menaikkan bendera putih.

"Semakin ramai yang tahu usaha #FoodbankJB, dan saya terus bersetuju untuk membekalkan barang makanan kering supaya mereka (yang dikenal pasti) tersebut dapat dibantu dengan segera," kata Akmal dalam catatan di Facebook.

Menurut beliau, penghantaran bantuan lebih mudah dengan pihak kerjasama polis memberi lokasi keluarga menaikkan bendera dan pasukan #FoodbankJB akan merekodkan jenis bantuan yang diperlukan oleh mereka

"Kebetulan sejurus perbincangan kami, beliau mendapat maklumat daripada pasukan peronda terdapat bendera putih dikibarkan.

"Saya turuti pasukan Polis serta-merta ke lokasi bagi menyampaikan sumbangan," katanya.

Akmal mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM di atas keprihatinan dan kesungguhan mereka menjalankan tugas.

    1