May 20, 20211 min

PH Negeri Sembilan sumbang RM300 ribu untuk Palestin

Kerajaan Negeri Sembilan menyumbang sebanyak RM300,000 kepada Tabung Bantuan Negeri Sembilan Peduli Palestin bagi membantu dana rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun melancarkan tabung itu dengan kerjasama Global Peace Mission Malaysia yang menyasarkan kutipan lebih RM1 juta.

Aminuddin berkata, Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan turut menyumbang sebanyak RM100,000 diikuti Pemerbadanan Menteri Besar Negeri Sembilan (MBI) sebanyak RM100,000 dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sebanyak RM100,000.

“Kerajaan Negeri Sembilan mengikuti perkembangan terkini yang sedang berlaku ke atas rakyat Palestin terutamanya serangan-serangan yang tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis.

“Menginsafi nasib dialami rakyat di bumi Palestin yang terpaksa berdepan dengan kehidupan amat sukar menuntut kita untuk bersolidariti," katanya.

Katanya, orang ramai yang berminat boleh menyalurkan sumbangan melalui Akaun CIMB 8004433398 di atas nama Bendahari Negeri, Negeri Sembilan dengan meletakkan rujukan ‘Palestin’.

Sebuah platform turut disediakan oleh Global Peace Mission Malaysia khusus untuk rakyat Negeri Sembilan yang ingin menyumbang secara online melalui laman web http://www.pedulipalestin.com/negerisembilan

Aminuddin berkata, kutipan derma melalui jabatan dan agensi kerajaan, masjid dan surau juga akan digerakkan bagi memastikan setiap rakyat di Negeri Sembilan berpeluang untuk turut serta membantu rakyat Palestin.

“Seluruh rakyat Negeri Sembilan dipelawa untuk menaikkan tanda pagar sokongan #N9PeduliPalestin di semua platform media sosial,” katanya.

    0