Oct 21, 20211 min

PH bertemu SPR isu perjalanan PRN Melaka, Datuk Norhizam ditolak sebagai calon

Pakatan Harapan (PH) memutuskan akan menghantar wakil bertemu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan pelaksanaan peraturan dan perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang adil dan saksama.

Menurut kenyataan Majlis Presiden PH, prinsip keadilan kepada semua parti yang bertanding ketika Prosedur Operasi Piawai (SOP) yang ketat sewaktu berkempen harus dijamin oleh SPR.

"Majlis Presiden PH hari ini memutuskan menghantar wakil untuk bertemu serta berbincang dengan SPR berhubung SOP bagi PRN Melaka.

"Ini bagi menyampaikan pandangan PH serta memastikan prinsip demokrasi dijunjung, hak parti-parti politik bertemu pengundi tidak terjejas, dan perjalanan pilihan raya adalah adil kepada semua pihak terutama pada ketika Melaka berada di dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.

"Majlis Presiden turut bersetuju melantik saudara Adly Zahari bagi mengetuai jentera pilihan raya PH Melaka bagi menghadapi PRN," kata kenyataan berkenaan.

Mengenai penyertaan 4 bekas ADUN Melaka ke dalam PH sebagaimana yang heboh diperkatakan, sehingga kini menurut Majlis Presiden, tiada permohonan dibuat oleh keempat-empat ADUN berkenaan.

"Dalam isu empat bekas ADUN, PH telah menerima pandangan semua pihak yang tegas tentang perkara ini. Perlu ditekankan kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada mana-mana individu.

"Oleh kerana mereka bukan ahli mana-mana parti komponen PH, maka soal pencalonan mereka dalam PRN tidak berbangkit di dalam mesyuarat hari ini.

"Walau bagaimanapun, Majlis Presiden turut memutuskan bahawa Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak akan dijadikan calon PH dalam PRN Melaka," kata mereka lagi.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

    1