Mar 27, 20231 min

Pertemuan Anwar - Hun Sen bincang isu mendesak dua hala

Pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya Hun Sen hari ini membincangkan pelbagai isu yang melibatkan hubungan Malaysia dan Kemboja.

Menurut Anwar, pertemuan itu menambah erat hubungan Malaysia - Kemboja yang telah terjalin sejak 1957.

"Dalam lawatan saya ke Kemboja, delegasi dirai dalam satu upacara sambutan rasmi di Peace Palace sebelum mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat saya Hun Sen.

"Pertemuan ini memberi peluang untuk mengutarakan dan membincangkan isu-isu mendesak yang memerlukan kerjasama dua hala berkepentingan seperti pendidikan dan industri makanan halal sementelahan meneroka peluang kerjasama baharu bagi memperkukuhkan lagi jalinan hubungan kedua-dua negara," katanya.

Mesyuarat delegasi Malaysia dan Kemboja menemui kata sepakat

Dalam pertemuan itu juga beberapa memorandun kerjasama telah ditandatangani bagi memperkukuh kerjasama dua hala.

"Turut disaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan pekerja Kemboja dan diharap usaha ini akan memperkasakan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam sektor perburuhan," katanya lagi.

Petang ini, Anwar dijadual bertemu diaspora Malaysia di Kemboja dan kemudian akan menyertai jamuan berbuka puasa yang diadakan oleh kerajaan Kemboja.

    1