Nov 29, 20211 min

Perkenal Akta Anti Buli, elak kes kematian Zulfarhan Osman

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah meminta kerajaan mempertimbangkan beberapa perkara, susulan kes buli Allahyarham pegawai kadet Zulfarhan Osman sehingga menyebabkan kematian.

Antaranya, katanya, adalah memperkenalkan Akta Anti Buli.

“Pengenalan Akta Anti-Buli bagi membendung kegiatan buli secara lebih serius sebagai jaminan untuk mencegah kematian juvana yang tidak seharusnya berlaku,” katanya dalam sesi Kamar Khas.

Beliau juga mencadangkan pindaan ke atas Kanun Keseksaan (Akta 574) khusus bagi kesalahan buli atau hukuman berkaitan jenayah tubuh badan.

“Hukuman sedia ada masih tidak cukup untuk melindungi mereka daripada dibuli dan didiskriminasi,” katanya.

Beliau juga bertanya mengenai status Lembaga Penyiasatan Khas yang telah ditubuhkan sejak 2017 oleh Menteri Kanan Pertahanan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (APM).

“Adakah lembaga tersebut mengeluarkan sebarang laporan berhubungkait dengan kes kekejaman keganasan fizikal tersebut?” soalnya.

Pada masa sama, Nurul Izzah juga berpendapat, penilaian semula terhadap sistem latihan dan pengurusan pelatih di mana-mana Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) wajar diambil sebagai langkah proaktif.

“Kita tidak boleh terus bertolak ansur dengan keganasan dalam apa jua bentuk dan cara sekalipun,” katanya.

    1