Mar 5, 20211 min

Percubaan beli sokongan: 'Saya bukan untuk dijual' - Ahli Parlimen Putatan

Satu lagi percubaan untuk membeli sokongan Ahli Parlimen KEADILAN didakwa dilakukan oleh pihak pemerintah. Kali ini melibatkan Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Awang Husaini, beliau memberitahu telah dihubungi oleh beberapa pihak yang memujuknya untuk mengalih sokongan kepada Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin, sejak sekian lama. Bagaimanapun beliau menolaknya.

"Sejak Langkah Sheraton sehingga hari ini, saya dihubungi individu-individu yang berusaha untuk membuatkan saya menyatakan sokongan terhadap PM, Muhyiddin Yassin. Sebagai balasan terhadap sokongan itu saya dijanjikan pelbagai perkara.

"Walau bagaimanapun, saya telah menolak setiap usaha tersebut dan membuat ketetapan untuk tidak sekali-kali mengkhianati perjuangan Reformasi. Sokongan saya 'tatap' buat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat," katanya.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada pihak yang terus menghubunginya agar menghentikan tindakan itu, kerana beliau tidak akan menjual prinsip.

"Kepada yang masih mencuba, hentikanlah. Saya tidak boleh dibeli. “I am not for sale”," katanya.

Sebelum ini, dua Ahli Parlimen mewakili Julau dan Terbrau telah berkhianat ke Perikatan Nasional (PN).

Khabar angin menyebut PN memerlukan sekurang-kurangnya 10 Ahli Parlimen bagi mengimbangi Ahli Parlimen Umno yang akan manarik balik sokongan sebaik sahaja darurat ditarik balik.

    0