Mar 4, 20211 min

Percubaan beli Ahli Parlimen Sekijang: Natrah tolak tawaran sokong PM Muhyiddin

Kerajaan Perikatan Nasional yang tersepit semakin berani melebarkan tawaran 'membeli' sokongan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Jika sebelum ini tawaran atau tekanan dikenakan kepada Ahli Parlimen yang pernah menyokong bekas Timbalan Presiden KEADILAN sahaja, kali ini tawaran terbuka kepada semua paksi.

Terbaharu, Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail melaporkan beliau telah didatangi wakil pemerintah untuk ditawarkan mengubah arah sokongan.

"Semalam pada 3 Mac, saya telah dikunjungi dua individu termasuk seorang yang bergelar ‘Dato’ Seri’. Dalam pertemuan itu, mereka menceritakan bagaimana saya telah melakukan kerja yang baik di Sekijang dan keinginan mereka untuk membantu saya meneruskan usaha sebagai seorang Ahli Parlimen.

"Mereka bertanya apakah saya berminat untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta manfaat yang boleh diperolehi dengan pemberian sokongan tersebut.

"Saya dengan terang dan jelas menjawab tidak berminat untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin dan menolak tawaran mereka. Bagi saya, tiada erti mendapat manfaat apa sekalipun jika saya berpaling tadah dari perjuangan Reformasi, dan melanggar sumpah yang telah saya lafaz apabila menjadi seorang Ahli Parlimen," katanya.

Natrah berkata, beliau telah melaporkan perkara itu kepada pucuk pimpinan KEADILAN dan bertekad akan menentang habis-habisan sebarang usaha memujuknya berkhianat.

"Saya telah melaporkan perkara ini kepada pucuk pimpinan KEADILAN. Ini kerana saya percaya usaha jahat untuk menawar habuan dan jawatan atau mendesak serta mengugut Ahli-Ahli Parlimen KEADILAN serta pembangkang amnya terus berjalan.

"Jelas kerajaan minoriti hari ini bersedia melakukan apa sahaja, kecuali menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang segera," katanya lagi.

    0