Apr 251 min

Penjimatan rasionalisasi subsidi untuk bantuan sosial atasi kemiskinan

Kerajaan akan memberikan makluman mengenai perincian berkaitan cadangan rasionalisasi subsidi termasuk kriteria dan kesannya kepada rakyat dalam masa terdekat.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, sekiranya dasar itu dapat dilaksanakan maka penjimatan daripadanya dapat disalurkan kepada rakyat melalui bantuan sosial untuk mengatasi masalah kemiskinan dan menjana fiskal negara.

"Saya tahu ramai yang bertanyakan mengenai masa untuk kita memperkenalkan mekanisme itu, walau bagaimanapun, mengutamakan penyelarasan dan persediaan untuk langkah itu adalah perlu bagi sesuatu yang sebesar ini," katanya ketika berucap melancarkan Malaysia Economic Monitor ke-29 oleh Bank Dunia bertajuk Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills di Kuala Lumpur hari ini.

Rafizi berkata setakat ini seramai 11.6 juta individu atau 52.6% rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas telah mendaftar dengan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

"Ini memberikan kapasiti yang mencukupi untuk akhirnya melaksanakan rasionalisasi subsidi dan peralihan daripada model regresif subsidi menyeluruh.

"Pada tahap yang diperlukan ini, data berbutir, kita boleh meminimumkan kesilapan pengecualian dan rangkuman, dan memastikan pengagihan subsidi yang saksama kepada mereka yang paling memerlukannya," katanya.

Sementara itu, laporan Malaysia Economic Monitor oleh Bank Dunia menekankan prospek pertumbuhan jangka panjang Malaysia yang sangat bergantung pada pengukuhan modal insan dengan meningkatkan hasil pembelajaran untuk kanak-kanak.

Laporan itu memberikan empat syor untuk meningkatkan hasil pembelajaran termasuk memastikan semua kanak-kanak mendapat manfaat daripada pendidikan prasekolah berkualiti tinggi dan berada di sekolah rendah dalam keadaan bersedia untuk belajar, selain meningkatkan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak dan kualitinya untuk isi rumah berpendapatan rendah.

    1