Apr 261 min

Penamaan calon PRK KKB: Polis tutup sementara lima jalan esok

Lima laluan jalan raya di sekitar Kuala Kubu Baharu (KKB), Hulu Selangor akan ditutup sementara dan dilencongkan bagi melancarkan proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu esok.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata laluan yang terlibat bagi penutupan sementara itu ialah Jalan Merdeka, Jalan Abdul Hamid, Jalan Dato Muda Jaafar, Jalan Mat Kilau dan Jalan Kamarudin.

"Penutupan sementara jalan sempena hari penamaan calon pada esok bermula pada 12.01 tengah malam (27 April) hingga selesai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad berkata susulan penutupan sementara itu, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif lain seperti Jalan Kubu, Jalan Dato Tabal, Jalan Rasathurai, Jalan Dato Balai, Jalan Syed Masyor dan Jalan Pahang.

Menurutnya pengguna dinasihatkan agar mematuhi arahan penutupan jalan dan lencongan itu yang dibuat bagi melancarkan aliran trafik.

Proses penamaan calon bagi PRK berkenaan dijadual berlangsung di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor bermula pukul 9 pagi.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Penyokong Pakatan Harapan dijadual berkumpul di bangunan Agro Bank, Jalan Kamarudin, Pekan Kuala Kubu Baharu bagi menyertai proses menghantar calonnya Pang Sock Tao dari DAP ke pusat penamaan calon.

    1