May 23, 20221 min

Pemilihan KEADILAN 2022: Keputusan tidak rasmi selepas pemilihan semula 8 cabang

Keputusan tidak rasmi Pemilihan KEADILAN 2022 yang dijadualkan dikeluarkan pada hari ini ditunda akibat penangguhan pemilihan bagi 8 Cabang KEADILAN di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa, tarikh pemilihan baharu akan dikeluarkan sedikit masa lagi dan diadakan sebelum akhir Mei ini.

Selain itu, katanya, JPP juga menerima beberapa bantahan daripada cabang cabang yang telah selesai melaksanakan undian fizikal, dan sekiranya bantahan diterima maka pemilihan semula turut akan dilaksanakan serentak pada hari yang sama

"Kita juga menerima bantahan di beberapa cabang dan JPP sedang berbincang serta menilai semua bantahan tersebut.

"Jika terpaksa membuat pengundian semula, kami akan lakukan secara serentak dengan pengundian 8 cabang tersebut," katanya dipetik Bernama.

Setakat ini, 8 cabang yang terpaksa diadakan pemilihan semula ialah Gua Musang, Pengkalan Chepa, Bachok, Ketereh dan Tumpat di Kelantan, Dungun (Terengganu), Hulu Selangor (Selangor) dan Padang Serai (Kedah).

Pada waktu sama, Dr Zaliha mengesahkan sebanyak 57 daripada keseluruhan 222 cabang telah menang tanpa bertanding bagi semua jawatan peringkat cabang pada pemilihan kali ini.

Semantara itu, sebanyak 12.22% atau 136,629 ahli KEADILAN telah mengundi dalam pemilihan parti setakat semalam, termasuk 76,932 yang mengundi secara dalam talian

KEADILAN akan mengumumkan secara rasmi semua calon pemenang jawatan pada 25 Jun depan sempena Kongres Nasional Tahunan KEADILAN, manakala bagi ketua wanita dan ketua AMK akan diumumkan pada 24 Jun, pada kongres tahunan masing-masing.

    2