Jul 2, 20201 min

Peletakan jawatan CEO Petronas, ada campur tangan kerajaan? - Anwar

Tindakan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin meletakkan jawatan sebagai presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas sebelum kontraknya berakhir pada April 2021 dipercayai berlaku disebabkan campur tangan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangannya selepas agensi berita Reuters mendakwa peletakan jawatan tersebut ada kaitan dengan kerajaan negeri Sarawak, walaupun disangkal oleh Petronas.

"Apa yang dibimbangi adalah mengenai campurtangan kerajaan dalam Petronas. Laporan itu juga menggesa agar kerajaan menjelaskan bayaran yang dibuat kepada Sarawak.

"Gabungan pembangkang menuntut penjelasan menyeluruh dan tuntas terkait isu ini.

"Kegagalan Petronas untuk meleraikan persoalan-persoalan ini akan mengundang ketidakpercayaan yang akan mengeruhkan lagi keadaan semasa," katanya dalam kenyataan.

Anwar yang juga merupakan presiden KEADILAN menganggap peletakan jawatan Wan Zulkiflee akan memberi kesan negatif kepada Petronas dan pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

"Ketidakstabilan di Petronas telah memberi dampak yang negatif kepada ekonomi negara dan mengesankan para pelabur antarabangsa.

"Badan penarafan dunia S&P Global Ratings baru-baru ini juga telah membuat penilaian semula bahawa unjuran Malaysia dan Petronas berada dari stabil ke negatif.

"Sebagai syarikat yang bertanggungjawab menyelia khazanah dan hasil negara, rakyat jelas tertanya-tanya apakah rencana sebenar di sebalik perletakan jawatan tersebut dan ini mesti dijelas dan diperincikan tanpa lengah oleh pihak Petronas," katanya.

    0