Apr 141 min

MCMC selesai ambil keterangan pengendali MyNewsHub

Oleh: Azuan Ab Rahman

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selesai merakam percakapan pengendali akaun media sosial MyNewsHub susulan tindakan memuat naik dan memainkan semula klip video lama dengan teks menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.

Melalui satu kenyataan MCMC berkata, rakaman percakapan itu dirakam di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, Selangor pada Jumaat.

"Selepas selesai siasatan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut.

"Pegawai penyiasat menyita kad sim dan sebuah telefon bimbit milik suspek yang digunakan untuk memuat naik video itu bagi membantu siasatan," kata kenyataan itu.

MyNewsHub dilapor memuatnaik video berdurasi satu minit 10 saat yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.

Video dengan tajuk 'Tanya pasal kuarters jer dh kene mcm tu depan KSN!!' melibatkan sekumpulan audiens dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali itu sebenarnya adalah video lama membabitkan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan situasi serangan provokatif.

Jabatan Perkhidmatan Aawam dalam kenyataan menegaskan, penularan semula video berkenaan didakwa berniat memainkan sentimen negatif terhadap kerajaan.

Sementara itu MCMC dalam kenyataannya menegaskan pihaknya memandang serius penularan video tersebut.

Sebarang tindakan muat naik kandungan yang mempunyai niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu pihak lain adalah melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    1