Feb 6, 20231 min

Malaysia Madani pelbagai budaya, angkat negara ke persada dunia

Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan kaedah untuk mengangkat kembali negara ke persada dunia selepas imejnya dihitamkan akibat pelbagai skandal kewangan sebelum ini.

Hal itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuan Pusat Khidmat Rakyat Bandar Tun Razak, semalam.

"Kita mesti fikir dan sama sama tolong. Ini yang kita mahukan dalam negara Madani ini.

"Kita mahu bawa negara kita ke mata dunia, rasa bangga, rakyat Malaysia mempunyai tempat yang baik untuk didiami. Kita ada pelbagai budaya (dan bertoleransi)," katanya.

Dr wan Azizah, Fahmi, Tan Kok Wai serta Zahir menggaul Yee Sang lambang kemakmuran

Beliau berharap sempena tahun arnab pada kali ini, keadaan negara akan lebih baik dan rakyat juga akan beroleh kemakmuran.

"Arnab pandai, lincah, ini yang kita mahukan dalam Malaysia ini. Kita mahu tamadunkan negara kita," katanya.

Dr Wan Azizah tidak lupa menceritakan perihal Datuk Seri Anwar yang pada waktu remajanya, ketika bekerja sebagai guru selepas peperiksaan MCE (SPM) mendalami falsafah Confucius untuk lebih mendalami masyarakat Cina. Beliau berharap pelbagai kaum dapat menyelami budaya antara satu sama lain.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan serta para pemimpin masyarakat setempat.

    1