Apr 251 min

Malaysia gesa bantuan UNRWA disalurkan semula

Malaysia mengalu-alukan hasil siasatan Laporan Akhir Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menolak tuduhan Israel yang mengaitkan pembabitan kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dengan organisasi pengganas.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan menggesa negara-negara yang telah menggantung sumbangan mereka untuk meneruskan semula bantuan kewangan mereka kepada UNRWA.

Sambil mengalu -alukan keputusan beberapa negara untuk menyambung semula sumbangan mereka kepada agensi itu, Kementerian Luar menegaskan UNRWA berfungsi sebagai talian hayat penting bagi rakyat Palestin yang dikepung.

"Israel secara berterusan menyebarkan propaganda penipuan, tipu daya dan gambaran yang salah mengenai fungsi dan aktiviti-aktiviti UNRWA.

"Adalah penting bagi negara-negara untuk menilai semula keutamaan mereka dengan Israel, memandangkan tindakannya yang keji dengan mengorbankan rakyat Palestin," kata kenyataan itu.

Pada Isnin, agensi berita Anadolu melaporkan Kumpulan Penilai Bebas itu mendedahkan bahawa Israel masih belum mengemukakan sebarang bukti berhubung dakwaan kakitangan agensi itu terbabit dengan kumpulan pengganas.

UNRWA ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB lebih 70 tahun lalu untuk membantu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal secara paksa dari tanah mereka.

    1