Dec 20, 20231 min

Malaysia di landasan tepat capai sasaran negara neutral karbon

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan Malaysia kini berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran menjadi negara neutral karbon menjelang 2050

Bagaimanapun jelasnya, masih banyak usaha perlu dilaksanakan, termasuk pembabitan berterusan daripada semua pihak bagi merealisasikan perkara itu seiring Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) global.

"Kita masih pada peringkat awal dan banyak perlu dilakukan untuk mencapai sifar bersih pada 2050.

"Ketika ini, kita sedang melaksanakan Strategi Pembangunan Karbon Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) bagi mendapat data diperlukan," katanya dipetik.

Nik Nazmi berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Pelan Tindakan Kelestarian Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) 2023-2030, di Subang Jaya pada Selasa.

Pelan tersebut menggariskan komitmen Prasarana yang bergantung pada empat matlamat utama, iaitu berubah ke arah mobiliti rendah karbon, menegakkan piawaian keselamatan, memacu produktiviti dan memperkaya komuniti, serta komitmen terhadap kelakuan perniagaan yang baik dan prinsip etika.

Melalui komitmen itu, Prasarana bercadang menukar armada basnya kepada bas elektrik sepenuhnya menjelang 2037.

Sementara itu, Nik Nazmi sebagai mengulas komitmen Prasarana itu berkata, ia penting kerana pengangkutan ketika ini adalah penyumbang utama kepada pelepasan karbon dioksida.

Katanya, ia harus dicontohi peserta sektor pengangkutan yang lain bagi membolehkan negara mencapai sasaran SDG yang ditetapkan.

"Langkah ini apabila berkembang, ia akan memberi kesan positif dan mewujudkan ekosistem yang komprehensif.

"Sebenarnya pengangkutan berasaskan elektrik, dari segi penyelenggaraan akan lebih rendah dan apabila banyak penggunaan akan mewujudkan tenaga kerja yang lebih ramai.

"Kita akan tengok perkara ini dan adakan sesi dialog dengan operator pengangkutan lain bagi mengikuti langkah Prasarana ini," katanya.

    1