Dec 22, 20231 min

Malaysia beri isyarat jelas tidak iktiraf Israel - Fahmi

Tindakan tegas kerajaan mengenakan sekatan terhadap syarikat perkapalan berpangkalan di Israel daripada berlabuh di negara ini merupakan isyarat jelas bahawa Malaysia tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerusi sidang akhbar di Putrajaya pada Rabu berkata, tindakan tegas itu selari dengan dasar pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang komited memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang ditindas rejim zionis.

"Saya lihat (tindakan) ini adalah selari dan selaras dengan dasar kerajaan yang memberi penegasan tentang beberapa isu melibatkan Israel.

"Kita konsisten dan komitmen kita untuk memperjuangkan nasib rakyat Gaza itu yang menjadi keutamaan.

"Apa pun, kerajaan memberikan satu ‘signal’ yang paling jelas bahawa kita tidak mengiktiraf Israel dan kita tidak bersekongkol dalam usaha termasuklah membantu dari segi ekonomi buat rejim itu," katanya selepas majlis Spotlight Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023 .

Semalam, kerajaan memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel iaitu ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Perdana menteri berkata, sekatan itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

Kementerian Pengangkutan tegasnya akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu berkuat kuasa serta-merta.

    1