Apr 171 min

Majlis Sambutan Aidilfitri Madani bersama PM bermula esok

Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di tujuh negeri.

Menurut Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri, tujuh buah negeri yang dipilih tersebut adalah Johor (18 April); Sabah (20 April); Melaka (22 April); Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan Terengganu (9 Mei).

"Penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani ini adalah dengan kerjasama antara Kerajaan Negeri selaku tuan rumah dan kementerian peneraju sebagai pelaksana bersama.

"Majlis ini akan dihadiri oleh PM sebagai tetamu jemputan utama dan turut dihadiri oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri negeri berkenaan.

"Tujuan utama penganjuran majlis ini adalah untuk memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di samping membolehkan pemimpin bertemu dan beramah mesra dengan rakyat," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Johor akan menjadi negeri pertama pelaksanaan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani pada Khamis yang bertempat di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall bermula jam 4.00 petang hingga 7.00 malam, dengan kerajaan Johor selaku tuan rumah bersama sama Kementerian Pertahanan sebagai kementerian peneraju.

Di Sabah pula, majlis sambutan akan diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada Sabtu bermula jam 10.30 hingga 3.00 petang. Kerajaan Sabah selaku tuan rumah akan bersama sama Kementerian Perpaduan Negara sebagai kementerian peneraju menganjurkan majlis itu.

    1