Jun 19, 20201 min

Majlis Pimpinan Pusat buat keputusan terbaik demi rakyat - KEADILAN Sarawak

Di sebalik perdebatan mengenai calon Perdana Menteri antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad, KEADILAN Sarawak yakin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan mencapai keputusan yang terbaik demi rakyat.

Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit berkata keputusan MPP itu penting bagi memastikan kemelut calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) diselesaikan segera tanpa perlu mengheret rakyat daripada mengharungi pelbagai lagi krisis politik negara.

"Kami yakin MPP akan membuat keputusan terbaik, tidak kira apa jua keputusan yang dicapai, semua ini perlu dibuat atas dasar setiakawan dan keputusan asal PH.

"Malah, kami juga akan memaklumkan pandangan rakyat Sarawak dalam mesyuarat MPP," katanya seperti dilaporkan oleh Malay Mail.

Tambah Abun, KEADILAN selaku parti berbilang kaum akan memastikan hak rakyat Sarawak akan terus terbela.

"Sebarang keputusan MPP bukan sahaja memberi kesan kepada Sarawak tetapi juga semua negeri di negara ini," katanya.

    2