Feb 3, 20231 min

Lokasi jualan Jelajah Ehsan Rakyat akan ditambah - Amirudin

Kerajaan Negeri Selangor bercadang menambah lokasi jualan murah barang keperluan di bawah program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0 sedia ada.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, melalui langkah itu beliau berharap lebih ramai rakyat di negeri itu akan dapat menikmati manfaat sekaligus meringankan beban kos sara hidup ditanggung mereka.

Antara yang dirancang Kerajaan Negeri adalah dengan menyelaras inasiatif tersebut bersama program Jualan Rahmah yang diperkenal Kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan Negeri sedang menyahut seruan Jualan Rahmah. Kita cuba selaraskan jadual (penganjuran jualan) dengan Jelajah Ehsan Rakyat.

"Jika tidak sama, kita akan pisahkan (jualan asing) supaya lebih banyak tempat dan ramai penduduk mendapat manfaatnya," katanya pada satu program di Petaling Jaya semalam.

Jelajah Ehsan Rakyat merupakan inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Dengan peruntukan kira-kira RM15 juta, program itu menawarkan barangan keperluan dibawah harga pasaran yang antaranya ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Sementara, program Jualan Rahmah digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga menawarkan barang keperluan pada harga lebih murah.

    1