Jan 26, 20211 min

KSN wakil penjawat awam, tidak patut hadir Majlis Presiden PN - Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, walaupun Zuki bertindak atas arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tindakan itu melanggar peraturan penjawat awam yang mengehadkan penglibatan penjawat awam dalam politik.

"KSN mewakili perkhidmatan awam penjawat awam, walaupun mungkin diarah oleh perdana menteri, KSN patut beri penjelasan untuk beliau hadir dalam Majlis PN, ini bukan mesyuarat kerajaan tapi mesyuarat PN, itu tidak selari dengan ketetapan serta peraturan untuk penjawat awam," katanya.

Anwar berpendapat jika ada yang kata tindakan Zuki itu tidak salah, maka beliau selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH)) mahu menjemput Zuki menyertai mesyuarat pembangkang.

"Kalau ada yang kata apa salahnya, kalau macam itu ada mesyuarat Majlis Presiden PH nanti saya nak jemput KSN untuk beri taklimat, kalau dia kata boleh maknanya dah tukar peraturan.

"Saya rasa perkara ini elok diperbetulkan supaya imej kewibawaan kredibiliti penjawat awam itu tidak terjejas dan tidak memihak mana-mana pasukan politik," katanya.

    0