Dec 17, 20231 min

KPM tawar bantuan kaunseling buat keluarga remaja maut dilanggar

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyampaikan rasa simpati terhadap keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh, yang maut akibat dilanggar kereta berhampiran sekolah pada Jumaat.

Ditemui pemberita pada Sabtu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga terbabit bagi meringankan tekanan emosi ditanggung mereka.

"Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Tragedi ini agak menyayat hati dan dalam konteks KPM kita menawarkan khidmat dari segi kaunseling khususnya kepada keluarga.

"Selain itu, kaunseling juga akan diberikan kepada (pelajar) yang terlibat kerana yang lihat kejadian itu juga adalah anak-anak kita," katanya.

Fadhlina ditemui pada Program Rintis STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik) dan Makmal STEAM di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Eng Sungai Udang di Nibong Tebal.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 itu, Muhammad Zaharif Affendi yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) muat selepas dilanggar sebuah kereta disyaki dipandu seorang pegawai kanan polis.

Susulan itu, pegawai kanan berusia 44 tahun tersebut ditahan dan direman hari ini bagi membantu siasatan.

Polis kemudian memaklumkan siasatan akan dilakukan dari pelbagai sudut termasuk menjurus kepada kesalahan mematikan orang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Fadhlina sementara itu menyatakan harapan agar siasatan segera dapat dilakukan oleh pihak polis terhadap kes itu.

    2