Dec 27, 20231 min

KPKT umum nama rasmi baharu

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan kini dikenali dengan nama rasmi sebagai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Perkara itu dimaklumkan KPKT dalam satu kenyataan pada Selasa dengan menjelaskan pindaan itu dibuat berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Disember lepas.

Nama baru itu juga akan diwartakan secara rasmi di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969

Menurut kenyataan itu juga, kementerian akan menjadikan usaha penyediaan rumah mampu milik sebagai teras utama kepada kementerian itu dengan sasaran pembinaan 500,000 unit rumah di seluruh negara khususnya untuk golongan B40 dan M40 menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.

Hala tuju strategik melalui pelaksanaan visi dan misi KPKT pula akan terus diperkasa menerusi lapan fungsi utama iaitu Perumahan Mampu Milik, Perancangan Bandar, Pembangunan Landskap, Pemerkasaan Kerajaan Tempatan, serta Kebombaan dan Penyelamatan.

Selain itu, kementerian akan turut memberi fokus kepada Pengurusan Sisa Pepejal, Pendayaupayaan Komuniti, serta Kredit Komuniti dan Pajak Gadai.

"KPKT komited bersama Kerajaan MADANI dalam merealisasikan agenda dan fokus utama iaitu bagi menerajui kemakmuran komuniti bandar serta persekitaran mampan.

"Aspek daya huni rakyat akan terus dipertingkatkan demi kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat dan seterusnya menjadi pemangkin kepada kemajuan negara," menurut kenyataan itu.

    1