Apr 151 min

Konflik Iran-Israel: Persiapan musim haji diteruskan ikut perancangan

Tabung Haji (TH) setakat ini masih meneruskan persiapan bagi musim Haji 2024 seperti yang dirancang walaupun berlaku konflik melibatkan serangan udara Iran ke atas Israel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar dalam kenyataan berkata pihaknya memantau situasi terkini di Timur Tengah, kesan daripada serangan berkenaan.

"Berhubung keselamatan para jemaah haji dan umrah dari Malaysia susulan ketegangan yang berlaku, Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) akan bekerjasama rapat dengan Wisma Putra, Motac termasuk Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi," katanya.

Iran memulakan serangan udara pada Sabtu menyasarkan lokasi di dalam wilayah yang diduduki Israel sebagai tindak balas serangan terhadap kemudahan diplomatik negara itu, di Damsyik, pada 1 April.

Serangan terbabit mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh anggota Pengawal Revolusi Iran (IRGC), termasuk dua jeneral.

Na’im sementara itu menegaskan semua pihak dimohon bertenang serta sentiasa merujuk pihak berkuasa dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat tepat dan sahih.

    1