Feb 202 min

Kod Etika Wartawan Inisiatif Madani Angkat Martabat Media

Updated: Feb 21

Oleh: Noraini Nordin

ULASAN: Sibuk bagaimana pun jadual harian, saya tetap akan meluangkan masa untuk turut hadir jika ada program yang melibat media atau yang berkaitan dengan dunia kewartawanan.

Lebih tiga puluh tahun menjadi pengamal media banyak perubahan dunia media yang saya alami termasuk kemajuan teknologi yang amat pesat.

Zaman saya menjadi wartawan pada akhir tahun 1980an penggunaan komputer baharu sahaja bermula. Zaman penggunaan mesin taip di syarikat-syarikat media bagi menghasilkan berita atau rencana sudah beransur pergi.

Walau bagaimanapun apa jua zamannya, asas kewartawanan dan etika media tetap bertujuan untuk meningkatkan nilai dan integriti wartawan serta dunia kewartawanan.

Hari ini saya turut hadir untuk bersama rakan-rakan media di majlis perlancaran Kod Etika Wartawan Malaysia.

Program yang dilancarkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pagi ini adalah satu lagi inisiatif oleh Kerajaan Madani untuk mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat yang benar-benar diyakini rakyat.

Lapan etika utama

Kod tersebut yang merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu menggarap lapan etika utama bolehlah dianggap sebagai garis panduan untuk agensi media melaksanakan tugas mereka.

Lapan etika yang terkandung dalam Kod Etika Wartawan Malaysia itu ialah:-

1. Wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk.

2. Wartawan hendaklah telus dan berintegriti.

3. Wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

4. Pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi.

5. Kesahihan dan ketepatan maklumat .

6. Wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

7. Wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka.

8. Wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.

Sebelum ini, Etika Kewartawanan Malaysia yang diterbitkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) pada 1989 adalah merupakan rujukan utama bagi dunia kewartawanan di negara ini.

Tetapi, kini dengan pengenalan Kod Etika Wartawan Malaysia yang merupakan penambahbaikan daripada edisi 1989, ini adalah suatu perkembangan yang positif untuk disesuaikan dengan zaman semasa.

Panduan bagi pemegang KPM

Jabatan Penerangan (JaPen) dalam kenyataan medianya sempena pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia berkata, kod berkenaan turut digunakan sebagai sumber rujukan bagi pengurusan Kad Perakuan Media (KPM) oleh jabatan berkenaan.

KPM merupakan dokumen pengenalan diri pengamal media daripada agensi media yang diperakukan oleh kerajaan bagi memudahkan urusan liputan acara rasmi.

"Seiring dengan evolusi industri media, kod etika itu dikemas kini dan menjadi panduan oleh semua pemegang KPM JaPen dalam melaksanakan tugas demi mendukung pembentukan masyarakat yang berinformasi," demikian menurut kenyataan JaPen.

Turut hadir pada majlis peramian kod etika wartawan itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid.

_________________________________________________________________________________

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

    1