Dec 23, 20231 min

KKM teliti peningkatan permintaan slot vaksinasi

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti trend tempahan janji temu slot vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya menjangkan pihaknya akan berdepan permintaan vaksinasi tinggi dan akan berusaha meningkatkan jumlah slot di PPV.

Justeru orang ramai katanya boleh hadir ke PPV seperti yang tersenarai dalam MySejahtera secara tanpa janji temu bagi mendapatkan vaksinasi namun bergantung kepada turutan mengikut waktu ketibaan dan ketersediaan vaksin di PPV pada hari berkenaan.

"Maklumat pertambahan atau perubahan kepada bilangan slot janji temu di sesebuah PPV akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa pengambilan vaksin Covid-19 pada masa ini adalah secara sukarela, namun digalakkan terutama bagi golongan berisiko tinggi seperti warga emas atau individu yang mempunyai komorbiditi.

Selain secara jumpa terus, orang ramai boleh membuat janji temu menggunakan aplikasi MySejahtera sebagaimana tatacara tempahan yang dibuat semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini.

Sehingga 21 Dis, sebanyak 426 klinik kesihatan seluruh negara menawarkan pemberian vaksin Covid-19.

    1