Jul 29, 20211 min

Ketua Pembangkang mohon sidang Parlimen dilanjut lebih 5 hari

Mesyuarat Khas Parlimen 5 hari yang tidak jelas hala tujunya dipohon untuk dilanjutkan lebih lama.

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sidang tersebut perlu dilanjutkan agar lebih banyak Ahli Parlimen menyampaikan pandangan dan rakyat akan berpuas hati dengan jawapan para menteri.

"Ramai ahli Yang Berhormat (YB) yang tidak dapat sampaikan pandangan mereka dalam sesi ini yang amat terbatas. Saya faham kekangannya dan saya bersetuju dengan apa yang diumumkan oleh Yang Dipertua sebelum ini bahawa ada kekangan bersabit ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai Covid.

"Tetapi saya minta pertimbangan Yang Dipertua bincang dengan menteri untuk menambah hari. Umpamanya isu pendidikan tidak dapat dibahaskan secara terperinci. Beberapa isu kesihatan dan Covid ramai yang tidak dapat menyampaikan pandangan.

"Kalau boleh dengan semua perbatasan waktu 4 jam untuk hari berikut, kita boleh terima. Namun ramai ahli YB tidak dapat menyampaikan pandangan mereka," katanya dalam sesi Dewan Rakyat, pagi tadi.

Justeru, Ahli Parlimen Port Dickson itu mencadangkan sidang dilanjutkan beberapa hari dan tidak semestinya mengikuti jadual dari pukul 10.00 pagi hingga 5.30 petang.

"Kalau ditambah hari tidak semestinya 10 pagi sampai 5.30 petang. Menyangkut kekangan yang ditetapan, kita had tempoh masa pun tidak apa

"Itu yang kita pohon pertimbangan kalau boleh menteri izinkan penjelasan sekarang, saya hargai," katanya.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau mendapat mandat dari Ketua Majlis, Tan Sri Mahiaddin Yassin untuk tidak melanjutkan masa bersidang melebihi 5.45 petang atau memanjangkan hari persidangan yang sepatutnya berakhir Isnin depan.

    0