Feb 132 min

Ketepikan fahaman anggap mahkamah sivil sekular

Oleh: Helmi Mohd Foad

Sikap segelintir pihak termasuk pembangkang yang menanggap mahkamah sivil sebagai mahkamah sekular adalah satu pandangan yang tidak tepat.

Menurut Ahli Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Menggubal Undang-Undang Islam, Zulqarnain Lukman, pada hakikatnya semua rakyat di negara ini terikat dengan Perlembagaan Persekutuan yang telah menggariskan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

"Perlembagaan telah membuat pemisahan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman. DUN telah menjalankan kuasa untuk menggubal 16 seksyen yang dibatalkan.

"Mahkamah Persekutuan pula diberikan kuasa untuk mentafsir Perlembagaan jika ada sebarang pertikaian dan menggunakan kuasa itu untuk membatalkan 16 seksyen itu (Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan)," katanya dalam hantaran di Facebook.

Mahkamah Persekutuan Putrajaya dalam penghakiman majoriti 8-1 diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tunku Maimun Tuan Mat pada 9 Februari lalu memutuskan 16 Sekyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dianggap tidak sah kerana digubal di luar bidang kuasa DUN.

Petisyen bagi mencabarkan bidang kuasa DUN dalam menggubal seksyen dalam enakmen berkenaan dibawa oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Zulqarnain yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN) berkata pihaknya bersetuju dengan pandangan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bahawa keputusan Mahkamah Persekutan terhadap petisyen tersebut sebenarnya satu pengukuhan terhadap perundangan Islam di negara ini.

Ujarnya, saranan JKSM untuk bertindak mengharmonikan kedua-kedua institusi ini harus disambut baik.

"(JKSM)...mengambil sikap bahawa Mahkamah Sivil juga berupaya menghukum kesalahan takzir. Maksudnya sesiapa yang menganggap mahkamah sivil itu sebagai mahkamah sekular adalah tidak tepat," katanya.

Beliau berkata, sebenarnya orang yang mencanang dan memisahkan antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah itulah orang yang sekular.

Katanya kelompok itu berjuang untuk garis sekularisme terus wujud di Malaysia walaupun orang itu yang terpaling mendakwa sebagai pejuang Islam dan syariah.

"Kini giliran eksekutif atau kerajaan pula untuk bekerja pasca kes Nik Elin itu," katanya lagi.

    1