Jul 26, 20211 min

Kes langgar SOP Covid 19: Jangan amalkan layanan dua darjat - AMK P Pinang

Layanan tidak sama rata pihak polis kepada individu yang melanggar Prosedur Piawai Operasi (SOP) Covid 19 seperti merantai 49 jemaah solat sunat Adiladha ketika dibawa untuk mendapatkan perintah tahanan reman baru-baru ini tidak seharusnya berlaku.

Naib Ketua AMK Pulau Pinang (AMKPP), Darwin Lim Chee Chien berkata, kerajaan dan pihak polis seharusnya mengambil sikap tegas terhadap pelanggaran SOP tetapi tidak wajar memberi layanan yang berbeza, terutamanya apabila melibatkan golongan Menteri yang juga melanggar SOP.

"Hal ini berhubung kes solat sunat Aidiladha di luar surau Taman Pelangi, Juru. Di mana pihak polis telah mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dan seramai 49 individu telah dibawa untuk proses reman 4 hari di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) di mahkamah.

"AMKPP berpendapat mereka yang hadir untuk menunaikan solat sunat pada hari raya Aidiladha tidak patut dilayan seperti penjenayah yang telah melakukan kes berat.

"Persoalan timbul kenapa mereka dikenakan tindakan yang tegas dan terus dibawa untuk reman di mahkamah, sedangkan ramai menteri dan ahli politik kerajaan yang terang-terang melanggar SOP untuk kepentingan diri, seperti hadir majlis makan-makan dan aktiviti mencuba kenderaan baru, tidak dilayan seperti mana mereka yang terlibat dalam kes solat ini," katanya.

Sehubungan itu, AMKPP menyeru agar semua rakyat yang melanggar peraturan dilayan sama rata dan tidak dibezakan melalui pangkat, atau kedudukan mereka.

"AMK Pulau Pinang mengambil pendirian kerajaan dan pihak polis harus berwaspada dalam melaksanakan undang-undang dan hukuman yang tegas dan adil kepada semua yang melanggar SOP tanpa mengira kedudukan, jawatan dan latar belakang mereka," katanya lagi.

    0