Oct 27, 20212 min

Jual aset Azerbaijan: Kerajaan tidak boleh letak Petronas dalam keadaan tertekan

Updated: Oct 28, 2021

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan supaya tidak meletakkan syarikat petroleum dan gas milik kerajaan, Petronas dalam keadaan tertekan untuk menampung dana dan kewangan negara.

Beliau menganggap, tindakan Petronas menjual aset gas hampir RM10 bilion di Azerbaijan menunjukkan bahawa mereka seolah-olah dibebani dengan kerajaan yang dilihat memerlukan dana tambahan ketika ini.

"Kita tidak pertikai atau persoal prestasi dan pengurusan Petronas selama ini, kalau lihat perbahasan di Parlimen, jarang disentuh soal itu.

"Malah, tentang rencana masa depan Petronas mengenai tenaga hijau itu sangat menarik dan mendahului program kerajaan, itu sangat dibanggakan.

"Tetapi sukar untuk dinafikan dalam keadaan tertentu bahawa Petronas tertekan untuk mengambil tindakan akibat campur tangan politik, kalau mahu pertikai, boleh pertikai, tapi langsung tak relevan ketika ini.

"Namun, menteri jangan beri pandangan begitu sewenang, seolah tidak ada (campur tangan). Kita lihat dalam keadaan mutakhir, Petronas seolah tertekan kerana penugasan tumpuan menjual aset dengan cepat dan banyak sekali.

"Harga minyak sekarang naik, tahun sudah menjunam, dua bulan lagi belum tentu. Antara kecelaruan ketika ini adalah bahayanya untuk buat unjuran sangat mudah tentang harga pasaran Petronas.

"Tapi kita tahu tentang harga semasa atau harga jual terdahulu. Kalau harga hari ini, belum tentu dijual dengan harga hari ini, sama ada tidak mengikut harga pasaran semasa," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, sukar dinafikan bahawa berdasarkan rating Fitch, buat pertama kali kedudukan Petronas diturunkan.

"Dalam keadaan negara menghadapi krisis dan prestasi ekonomi terjejas, Petronas masih lagi badan yang sangat kukuh, sukar dinafikan dalam ekonomi sekarang, Petronas tertekan.

"Yang kita usulkan bukan untuk mengatakan Petronas lari daripada keutamaannya dan operasinya, tapi kerajaan sendiri mengambil pertimbangan, jangan meletakkan keadaan di mana Petronas berasa tertekan dalam soal pembahagian dividen dan kerangka besar ekonomi negara.

"Cara kita mengurus tatakelola, ketirisan, kecurangan-kecurangan ekonomi lain dan menyebabkan akhirnya terbeban kepada Petronas, ini yang saya minta penjelasan daripada menteri.

"Kita sependapat tentang pengurusan Petronas, tapi kita mungkin kurang sependapat tentang ada kalanya dan ketikanya campur tangan berlaku dan kita tahu pernah berlaku, dengan cara pengunduran ketua eksekutif satu ketika dahulu, semua ini ada kaitan.

"Tetapi kita mesti pastikan Petronas kekal kukuh dan dapat memainkan peranan serta mengangkat semula prestasi yang sedikit terjejas mutakhir ini," katanya.

0