Dec 19, 20231 min

Kerajaan salur RM35.8 juta persiapan hadapi bencana banjir

Kerajaan Perpaduan memperuntukkan RM35.8 juta bagi menghadapi banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM13.7 juta membabitkan peruntukan Persekutuan dan selebihnya untuk negeri, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri.

"Pada masa sama, sebanyak RM3 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pembelian makanan teknologi retort bagi kegunaan mangsa banjir dalam tempoh 24 jam pertama pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS).

"5,167 pegawai dan kakitangan sedia digerakkan pada bila-bila masa dengan dibantu 157 kaunselor dan 864 pasukan sokongan psikologi (PST)," katanya dipetik.

Nancy berkata begitu pada sidang media selepas lawatan ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana di Taman Kemumin, Pengkalan Chepa, Kelantan pada Isnin.

Beliau sementara itu memaklumkan ketika ini JKM mempunyai kekuatan lapan depoh, 137 stor negeri/daerah, 60 mini depoh kontena dan 580 pangkalan hadapan yang menempatkan keperluan asas mangsa bencana.

Kementerian juga jelasnya mempunyai kemampuan menyediakan 8,481 PPS di seluruh Malaysia yang mampu menampung 2.15 juta penduduk pada satu-satu masa.

"Selain itu, seramai 8,543 sukarelawan JKM turut sedia digerakkan ke PPS bagi melancarkan operasi membantu mangsa.

"Operasi akan dilaksana dengan kerjasama rakan strategik daripada agensi kerajaan dan swasta termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Yayasan Petronas, Yayasan Sime Darby dan Gardenia," tambahnya.

    1