May 15, 20201 min

Kerajaan perlu sedia pelan komprehensif pembangunan belia


 

 
Hari Belia Negara yang disambut hari ini wajar menjadi satu titik mula kepada perancangan yang lebih berkesan untuk memperkasa golongan berkenaan.
 

 
Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Perikatan Nasional harus mempunyai perancangan jangka panjang yang teratur bagi membangunkan belia, terutama ketika pengangguran berleluasa ketika ini akibat wabak Covid 19.
 

 
"Golongan belia adalah antara yang terkesan dengan pengangguran tatkala wabak Covid-19 terus menghimpit. Salut saya kepada penghantar-penghantar makanan seperti Grab, Foodpanda dan lain-lain yang gigih mencari rezeki.
 

 
"Tidak dilupakan juga kepada mereka yang bekerja di pelantar-pelantar minyak dan terpaksa berjauhan dengan keluarga. Sentiasa ambil maklum tentang caruman KWSP dan Socso, dan termasuk simpanan sendiri untuk masa depan.
 

 
"Kerajaan harus memikirkan langkah yang tuntas agar golongan belia terus dilindungi dan diperkasa dalam upaya kita membangunkan tamadun yang seimbang dan madani," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi beliau.
 

 
Sehubungan itu, Anwar juga menggesa kerajaan terus mendukung persatuan-persatuan belia di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM) agar kelangsungannya dapat dipelihara dan diteruskan.
 

    0