Oct 24, 20211 min

Kerajaan - pembangkang Sabah harus meterai MoU pulihkan ekonomi pasca Covid 19

Pakatan Harapan (PH) Sabah berpendapat memorandum kerjasama (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan PH perlu dilebarkan ke Sabah.

Menurut Majlis Pimpinan PH Sabah, fokus perlu diberikan kepada proses pemulihan dan pembangunan ekonomi Sabah.

"Ianya bukan lagi soal politik tetapi kepentingan umum rakyat Sabah.

"Semua tenaga dan sumber yang ada sepatutnya digunakan untuk merawat, memulih dan membangunkan semula kesan krisis akibat pandemik Covid-19 ini.

"PH Sabah selaku gabungan parti yang berorientasikan polisi berpendapat semangat dwipartisan sepertimana dimulakan di peringkat kerajaan persekutuan boleh dipanjangkan di peringkat kerajaan negeri supaya fokus boleh disatukan ke arah pemulihan dan pembangunan semula Sabah pada tempoh ketika ini," kata kenyataan PH Sabah.

Majlis pimpinan itu juga berkata kerajaan tidak boleh terlalu bergantung sepenuhnya kepada program vaksinasi dalam menuju fasa pemulihan pandemik Covid-19.

Kata mereka, pelan menyeluruh menangani Covid 19 dan pembangunan perlu dirangka dengan kerjasama semua pihak.

"PH Sabah berpendapat bahawa strategi pemulihan kesihatan awam, disusuli dengan pembangunan semula ekonomi dan infrastruktur di Sabah harus dirangka dan dilaksanakan segera.

"Kerajaan negeri seharusnya memainkan peranan yang lebih pragmatik dan telus berkenaan program pemulihan dan pembangunan semula kerana pandemik Covid-19 telah mewujudkan satu krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia kini menjadi kepentingan umum rakyat Sabah untuk menagih perkhidmatan terbaik daripada kerajaan,” katanya.

Kenyataan itu bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi KEADILAN Sabah Christina Liew, Pengerusi DAP Sabah, Poon Ming Fung, Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu, dan Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau.

    0