Dec 11, 20201 min

Kementerian Wanita Suram, Tiada Inisiatif Baru Seperti Era PH

Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN, Fadhlina Siddiq berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) telah meninggalkan tanda aras yang tinggi dalam perkhidmatan mereka di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPW).

Terutama mantan Menteri KPW, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan timbalannya Hannah Yeoh.

Menurut Fadhlina, KPW pada era PH berjaya menjuarai isu-isu wanita dan kanak-kanak. Termasuk melunaskan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke 14 mewujudkan skim KWSP untuk suri rumah, i-Suri.

Biar pun perlaksanaan tidak sepenuhnya berjaya di Malaysia Timur namun berkesan di Semenanjung dan memberi faedah kepada golongan suri rumah dalam kalangan B40.

Bagi kanak-kanak pula, kata Fadhlina, kejayaan terbesar ialah memperkenalkan peraturan perkahwinan pada peringkat umur 18 tahun ke atas. Dengan itu kanak-kanak perempuan akan terjamin pendidikan dan kematangan sebelum melayari alam rumahtangga.

Namun, kata Fadhlina, apabila Perikatan Nasional mengambilalih kerajaan keadaan menjadi sebaliknya.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak lagi mempunyai inisiatif baharu membantu rakyat. Malah KPW senyap di sepanjang pandemik Covid 19.

Sepatutnya KPW menjadi kementerian kanan kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat, talian kasih dan sebagainya di bawah kementerian itu.

    0