Apr 151 min

Kementerian Kesihatan pantau penyakit berkaitan cuaca panas

Orang awam dinasihatkan untuk terus menjaga kesihatan diri dengan mengelakkan daripada terdedah kepada cuaca panas

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, sebanyak 45 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan di seluruh negara setakat Sabtu dengan 33 kes kelesuan haba, 11 kes strok haba dan satu kes kejang haba.

"Secara kumulatif, dua kes kematian akibat strok haba telah dilaporkan. Kes kematian pertama ialah seorang lelaki berumur 22 tahun dan kes kematian kedua melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun di Kelantan," katanya dalam kenyataan.

Dr Muhammad Radzi berkata, pada masa ini terdapat empat kes yang masih mendapat rawatan di hospital iaitu satu kes strok haba yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga kes dirawat di wad biasa yang terdiri daripada dua kes strok haba dan satu kes kelesuan haba.

Sehubungan dengan itu, Dr Muhammad Radzi berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan agar semua pihak meneruskan langkah berjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrasi yang mencukupi dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak, serta aktiviti-aktiviti di luar rumah pada musim cuaca panas sekarang.

KKM juga jelasnya menjalankan pemantauan penyakit berkaitan cuaca panas susulan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

    1