Aug 5, 20201 min

KEADILAN Sedia Hadapi PRU mengejut, Rampas Kerusi Pengkhianat

Ketua Sekretariat Operasi Jabatan Pilihan Raya Parti (JPRP) KEADILAN, Senator Ismail Yusop mengulas mengenai persiapan parti, khususnya jentera menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 yang mungkin diadakan secara mengejut pada hujung 2020.

Menurut beliau, perkara utama yang mesti diambil kira adalah koordinasi antara jabatan-jabatan dalam parti seperti penerangan, strategi dan sebagainya.

Bagaimanapun, Ismail yakin KEADILAN bersedia menghadapi PRU 15, apatah lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden parti adalah juga pengarah pilihan raya pada kali ini.

Cuma Ismail berharap jentera KEADILAN akan menunjukkan disiplin tinggi kerana PRU sekiranya berlaku merupakan 'snap election' yang memperuntukkan masa persediaan lebih kurang 3 bulan. Sedangkan persiapan PRU memerlukan jangka waktu lebih panjang.

Mengulas prestasi KEADILAN pasca pengkhianatan, Ismail berkata banyak faktor yang mempengaruhi keupayaan parti. Malah wujud dinamik yang berbeza antara negeri-negeri. Selain itu, isu lebih besar adalah Muafakat Nasional. Terdapat sesetengah kawasan Pakatan Harapan menang dalam PRU 14 lalu tetapi simulasi yang dibuat, apabila dicampur undi BN dan Pas didapati sesuatu kawasan boleh jadi menang atau kalah kali ini.

Katanya, bagi kawasan Parlimen Ampang dan Gombak yang teruk dikhianati, setakat maklumat yang diperolehi difahamkan wujud task force untuk menangani kesan krisis yang berlaku di kedua-dua kawasan tersebut.

Ismail yakin dalam PRU rakyat mengundi parti dan dasar-dasar yang ditawarkan, bukan peribadi. Sekiranya isu struktur dan jentera boleh selesaikan dan jentera mula turun menemui pengundi, beliau yakin kerusi terjejas boleh dipertahankan.

    0