Apr 221 min

KEADILAN rekod lonjakan keahlian baharu di Kelantan

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan Kelantan mencatatkan pertambahan ahli baharu kedua paling tinggi sejak Jun tahun lalu.

"Berdasarkan statistik sehingga 21 Mac lalu, ahli KEADILAN di Kelantan meningkat sebanyak 2,027 menjadikan jumlah keseluruhan ahli di negeri itu kepada 60,356 orang," jelasnya melalui ucapan pada Konvensyen 25 Tahun parti itu Shah Alam pada Ahad.

Sementara itu Saifuddin turut mendedahkan kedudukan parti itu di Selangor semakin kuat dengan mencatatkan keahlian baharu tertinggi iaitu 5,707.

Ia sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan ahli KEADILAN di negeri itu adalah seramai 338,616 orang ahli.

"Jumlah ahli KEADILAN pada 21 Mac adalah 1,153,212, meningkat berbanding 1,136,583 Jun tahun lalu.

"Saya masih ingat berbalas surat dengan Anwar Ibrahim (presiden PKR) ketika itu (Anwar di penjara pada 1999) dan tidak terfikir kita boleh mencapai satu juta orang (ahli).

"Tanggungjawab kita adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan angka ini. Dalam pilihanraya semuanya mengenai angka," katanya.

Berdasarkan data didedahkan Saifuddin, keanggotaan ahli KEADILAN Sabah adalah kedua tertinggi dengan jumlah keseluruhan 185,004, diikuti Sarawak (86,315), Perak (83,688), Kedah (68,726), Pulau Pinang (66,700), Johor (65,160), Negeri Sembilan (53,795), Wilayah Persekutuan (42,012), Pahang (35,746), Melaka (30,905), Terengganu (20,163) dan Perlis (10,256).

    1