Jun 21, 20201 min

KEADILAN fokus masa depan Sarawak - Dr Teo

Dr Michael Teo Yu Keng menganggap pelantikannya sebagai Naib Presiden KEADILAN dilihat merupakan salah satu inisiatif penting untuk memulihkan imej parti di Sarawak.

Ahli Parlimen Miri itu berkata KEADILAN Sarawak perlu mengambil pendekatan baharu dan memikirkan soal masa hadapan parti di negeri itu.

"Peletakan jawatan beberapa pemimpin dan ahli di Sarawak mencetuskan isu yang besar, malah memburukkan imej kita dan merosakkan reputasi parti.

"Bila satu kumpulan keluar, satu kumpulan lagi masuk. Saya melihat apa yang berlaku ketika ini adalah sebagai satu permulaan baharu kepada parti untuk terus bekerja keras, memulihkan imej parti dan mengutamakan kepentingan rakyat dalam usaha memenangi pilihan raya negeri dan umum.

"Semangat kesatupaduan antara ahli semakin kuat dan dengan peningkatan bilangan ahli baharu, jadi kita tidak ada masalah untuk mara ke hadapan," katanya seperti dilaporkan Borneo Post.

Tambah Dr Teo, kemajuan alat teknologi dalam komunikasi banyak membantu KEADILAN menyatupadukan semula ahli dan mengelakkan daripada sebarang salah faham.

“Sebelum ini, kami perlu terbang ke Kuching untuk melakukan pertemuan dan hanya segelintir anggota yang dapat hadir. Sekarang, kita sering menggunakan Zoom dengan selesa, ini sebenarnya menjimatkan banyak masa dan tenaga, dan dapat membincangkan pelbagai masalah yang dihadapi.

"Kita juga dapat berkomunikasi dengan para pemimpin akar umbi di kawasan pedalaman, ini membantu kita untuk memulihkan imej KEADILAN," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap dapat membawa pembaharuan kepada hospital-hospital di kawasan pedalaman yang menghadapi pelbagai masalah sejak penularan wabak COVID-19.

"Wabak COVID-19 mendedahkan kelemahan hospital pedalaman. Sangat penting untuk menaiktaraf sistem penjagaan kesihatan negeri sebaris dengan taraf hospital di Semenanjung.

"Sebab itu, fokus kita adalah pilihan raya, dapatkan balik Putrajaya dan kemudian selesaikan isu kesihatan yang membelenggu rakyat selama ini," katanya.

    2