Jun 4, 20231 min

Jelajah Genta Belia 2023 seluruh negara dilancar

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal menganjurkan program Jelajah Genta Belia 2023 bertujuan memperkasa ekonomi golongan muda terutamanya di luar bandar.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata siri jelajah ke 43 lokasi di daerah terpilih seluruh negara itu merupakan inisiatif terbaharu KBS bagi mendedahkan golongan kepada program program pemerkasaan ekonomi dilaksanakan agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan.

Tambahnya, Jelajah Genta Belia 2023 akan memfokuskan kepada tiga pengisian utama iaitu aktiviti perkongsian ilmu dan maklumat seperti peluang pekerjaan, keusahawanan serta ekonomi; jualan komuniti belia berkonsepkan segmen mini dan aktiviti sampingan berbentuk permainan interaktif serta hiburan.

"Kerajaan sentiasa faham bahawa golongan belia perlu diberi pendedahan berhubung inisiatif terkait peluang ekonomi secara lebih kerap supaya mereka dapat meneroka kepelbagaian sektor dan kaedah terkini untuk meningkatkan keupayaan diri.

"Menerusi jelajah ini, belia bersama-sama komuniti dapat melaksanakan aktiviti meliputi kegiatan ekonomi yang akan memberi impak secara langsung kepada pemerkasaan ekonomi.

Adam 'cool' mencuba mecantikkan warna lukisan mural anak muda di pameran Jelajah Genta Belia 2023

"Seramai 15,000 belia bakal mendapat manfaat daripada keseluruhan jelajah ini," menurutnya.

Adam Adli berkata demikian sewaktu merasmikan Jelajah Genta Belia 2023 siri pertama di Medan Kajang pada Sabtu.

Siri jelajah tersebut dilaksanakan bersama rakan strategik iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Jabatan Pertanian, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan badan bukan kerajaan lain.

Jadual lokasi dan tarikh siri Jelajah Genta Belia 2023 yang akan berakhir Oktober ini boleh didapati menerusi laman sesawang www.jbsn.gov.my dan media sosial jbsnegara.

    2