Nov 29, 20221 min

Isu PM ejen Israel: AMK Putrajaya buat laporan polis

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Putrajaya hari ini membuat laporan polis ke atas fitnah yang tular di media sosial kononnya Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat bantuan Israel dalam proses pengangkatannya ke jawatan berkenaan.

Ketua AMK Putrajaya, Ezam Saidi berkata laporan polis berkenaan dibuat pihaknya agar isu tidak masuk akal tersebut tidak terus disebarkan dalam kalangan rakyat.

"AMK buat laporan polis terhadap tuduhan fitnah kepada PM Malaysia Datuk Seri Anwar yang mengatakan beliau ejen Israel dalam proses melantik beliau sebagai PM Malaysia ke 10 tempoh hari.

"Umum tahu bahawa proses pelantikan PM pada minggu lepas lancar yang mana Datuk Seri Anwar dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan turut mendapat perkenan Raja raja Melayu melalui Mesyuarat Khas Raja raja Melayu.

"Namun kita tengok selepas pelantikan Anwar, tohmahan dan fitnah terus berlangsung menuduh beliau ejen Israel. Saya lihat ini bukan perkara yang boleh dipandang enteng kerana melibatkan kedaulatan negara," katanya.

Sehubungan itu, Ezam menggesa pihak polis melakukan siasatan sesegera mungkin kerana hal itu bersangkutan isu keselamatan negara.

"Saya hadir bersama rakan rakan di IPD Purataya ini untuk menggesa pihak polis mengambil tindakan menyiasat fitnah ke atas Datuk Seri Anwar.

"Kami mahu tuduhan fitnah ini dihentikan dan pihak polis perlu segera membuka kertas siasatan," katanya.

Untuk rekod, sejak beberapa hari lalu tersebar di media sosial kononnya Israel membantu proses pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri

Beberapa audio ceramah pemimpin politik PN berkongsi naratif berkenaan, juga posting di Facebook dan media sosial lainnya.

    2