Apr 211 min

Felo Keadilan dilancar, tarik anak muda jadi pemimpin

Oleh: Abdullah Zaid

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN mengambil inisiatif melancarkan Felo Keadilan bagi usaha melahirkan lebih ramai pemimpin berkualiti.

Penaung Felo Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata program latihan kepimpinan itu bertujuan mendedahkan peserta kepada halatuju dan matlamat parti melalui asas kepimpinan, penggubalan dasar, aktiviti lapangan di peringkat akar umbi serta modul-modul pendidikan politik.

Jelasnya melalui Felo Keadilan, peserta bukan sahaja hanya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tetapi juga nilai-nilai keadilan, integriti, dan politik khidmat kepada rakyat juga turut diambil kira.

"Selain itu, program ini bukan sekadar platform latihan tetapi akan memberdayakan individu menjadi pemacu perubahan positif dalam komuniti masing-masing. Melalui proses membimbing anak muda untuk menghayati semangat parti, kita akan memiliki masa hadapan yang lebih cerah.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha mewujudkan program Felo Keadilan dan memberikan sokongan penuh kepada peserta yang terpilih untuk memulakan transformasi ini.

"Oleh itu, marilah bersama-sama membentuk jalan ke arah masa hadapan yang lebih adil masa hadapan yang menyaksikan suara dan aspirasi belia didengar dan dihargai," katanya.

Selain Felo Keadilan, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) turut melancarkan Portal AMK dan Angkatan Business Chamber (ABC) bagi bertujuan memantapkan gerak kerja sayap jentera parti bersempena Konvensyen 25 Tahun KEADILAN yang dianjurkan Pusat Konvensional Ideal (IDCC) Shah Alam hari ini.

Inisiatif tersebut dirasmikan oleh Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    1