Apr 241 min

Fahmi yakin calon kerajaan menang PRK Kuala Kubu Bharu

Calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu mempunyai potensi mengekalkan kerusi itu dengan majoriti lebih besar.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, keyakinan itu berdasarkan kedudukan kerajaan ketika ini selain khidmat bakti ditunjukkan penyandang kerusi sebelum ini, mendiang Lee Kee Hiong yang dirasai penduduk di kawasan berkenaan.

"Berdasarkan maklumat yang kita terima, peluang kemenangan itu sangat besar, malah beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM), majoriti adalah PDM yang menyokong Kerajaan Perpaduan dan InshaAllah kita akan cuba yang terbaik," katanya dipetik selepas menghadiri satu program di Wisma Bernama di Kuala Lumpur pada Selasa

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon, manakala hari pengundian pada 11 Mei ini.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Sementara itu Fahmi dipetik laporan media menempelak Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang berkata, pihaknya akan berusaha memecah belahkan hubungan parti-parti dalam kerajaan.

Sanusi jelasnya, tidak perlu sibuk urusan pihak lain, sebaliknya perlu menyibukkan diri untuk menyiapkan pelbagai projek yang telah diumumkan di Kedah sama ada oleh Widad Group atau litar.

"Dia ini sembang banyak, (projek) siap tak banyak.

"Berbeza dengan Menteri Besar Selangor, umum dan kita lunaskan.

"Menteri Besar Kedah ni dah la dia ada kes hasutan melibatkan Sultan Selangor, jadi saya rasa diam ajelah Sanusi," katanya

    1