Feb 6, 20231 min

Fadhlina ucap takziah keluarga guru maut kemalangan

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengambil maklum kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang mengorbankan dua guru Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang hujung minggu lalu.

Melalui satu perkongsian di laman Facebooknya, Fadhlina mewakili Kementerian Pendidikan (KPM) merakamkan ucapan takziah buat keluarga mangsa serta warga tempat mangsa bertugas.

"Semoga tabah dan sabar dengan ujian besar ini. Kami mendoakan agar roh mereka berdua dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah," menurut catatan Ketua Wanita KEADILAN itu di Facebook.

Dalam kejadian berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh, Kemaman pada Sabtu itu, Arbain Baharudin, 47 dan isterinya Rosmawati Bakar @ Lalar, 48 maut apabila kenderaan kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaiki mereka sekeluarga terbabas.

Tiga anak mereka, Farah Najwa, 20, Fatin Najla, 10, dan Faikal Nabila, 8, hanya cedera di muka, kaki dan tangan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian kesemua mangsa yang menetap di Kajang dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Kampung Gelugor, Kerteh di sini dan sebelum itu mereka sempat menghantar salah seorang anak lelaki mereka ke Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Kuantan, Pahang.

    2