Jul 22, 20232 min

Ekonomi Selangor Kekal Positif 2023

Oleh: Mohd Fauzi Fadzil

ULASAN: Tahniah diucapkan kepada kerajaan Negeri Johor yang berjaya mencatatkan jumlah pelaburan kedua tertinggi di Malaysia bagi tiga bulan pertama tahun 2023 dan sekaligus meninggalkan Selangor di tempat ketiga. Kejayaan tersebut mendapat reaksi negatif daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Mohamed Azmin Ali yang menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal kerana Selangor sebelum ini tidak pernah jatuh ke kedudukan tersebut.

Hakikatnya, Johor mendapat peluang peningkatan ekonomi yang positif apabila berlaku pemindahan operasi syarikat-syarikat pusat data ke negeri tersebut dari Singapura menjelang tahun 2023. Kedudukan geografi Johor-Singapura memberi kelebihan tarikan pelaburan tersebut untuk berlaku.

Pelaburan tersebut telah merekodkan lonjakan aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) terhadap Malaysia pada tahun 2023, seluruh rakyat Malaysia berbesar hati atas kejayaan Johor yang berjaya meyakin pelabur asing untuk masuk ke Malaysia. Kedudukan Malaysia semenjak tahun 2019 telah mengalami kemerosotan FDI yang teruk akibat skandal 1MDB sehingga hanya mampu memperolehi 4% daripada FDI yang masuk ke Asia Tenggara.

Selangor penyumbang KDNK terbesar

Namun Selangor tidak akan terus berdiam diri dan membenarkan kejayaan yang dikecapi oleh kerajaan Johor membayangi kedudukan Selangor sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terbaik di Malaysia.

Mohd Fauzi Fadzil

Datuk Seri Amirudin Shari selaku Menteri besar Selangor menyatakan bahawa Selangor bakal menerima kemasukan pelaburan menerusi pembangunan pusat data NextDC dari Australia. NextDC bakal membangunkan keseluruhan ekosistem data dan pusatnya di Petaling Jaya bermula tahun ini.

Kejayaan pelaburan di Selangor tidak terhenti di situ sahaja apabila syarikat kenderaan elektrik Tesla Inc akan membuka ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman di Negeri Selangor pada tahun ini juga. Datuk Seri Amirudin Shari berkata antara lokasi yang sudah dikenalpasti sebagai tapak operasi Tesla Inc yang dimiliki oleh Elon Musk (antara manusia terkaya di dunia) adalah di daerah Petaling dan Sepang.

Rekod FDI bukan segala galanya

Kesungguhan pentadbiran kerajaan Selangor yang giat berusaha menarik FDI untuk masuk ke Malaysia bakal mematahkan tuduhan pra-matang Azmin Ali. Tidak adil bagi beliau untuk menilai kesungguhan pentadbiran kerajaan Selangor untuk mengembangkan ekonomi Negeri Selangor hanya berdasarkan rekod FDI bagi tiga bulan pertama tahun 2023.

Kerajaan Negeri Selangor akan terus bersaing secara sihat dengan kerajaan negeri lain bagi menarik lebih banyak lagi FDI untuk masuk ke Malaysia.

Rumusan akhirnya, sama ada Selangor atau Johor mendapat FDI tertinggi pada tahun 2023 tidak menjadi tajuk perbalahan. Perkara yang lebih utama adalah limpahan kemakmuran daripada FDI tersebut bakal dinikmati oleh rakyat Malaysia.

__________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor

    6