Feb 16, 20211 min

Dulu sokong Undi 18, sekarang Muhyiddin perlu nyatakan pendirian

Kempen Undi 18 berjaya menjadi sebahagian daripada Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mengurangkan usia pengundian daripada 21 kepada 18 tahun adalah kerana keputusan sebulat suara oleh semua Ahli Parlimen ketika dibawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ini termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini sudah menjadi Perdana Menteri menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Justeru, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Damansara, Dzulhilmi Zainol menganggap Muhyiddin wajar mempertahankan pelaksanaan Undi 18.

Katanya, Menteri Parlimen dan Undang-undang, Takiyuddin Hassan sendiri pada 3 November lalu telah menyatakan bahawa penurunan usia mengundi menjadi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik akan mula berkuatkuasa pada Julai 2021.

Namun, Dzulhilmi berpendapat bahawa kenyataan Speaker Dewan Negara, Rais Yatim yang mahu kerajaan menangguhkan keputusan untuk menurunkan usia pengundian menjadi 18 bermula Julai ini adalah tidak adil.

"Ini adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab oleh seseorang yang harus sedar bahawa pindaan itu adalah keputusan bipartisan yang disokong merentasi politik oleh semua anggota Parlimen di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019," katanya.

Oleh sebab itu, Dzulhilmi mendesak Muhyiddin untuk menegaskan kembali komitmennya dan mengesahkan status pelaksanaan undi 18.

Malah, dengan pengangguran yang semakin meningkat dalam kalangan belia, Dzulhilmi menganggap adalah wajar belia diberikan hak untuk bersuara.

"Ini kelihatan membimbangkan apabila hingga saat ini, belum ada pendirian jelas, terutamanya dari Kementerian Belia dan Sukan yang seharusnya bertanggungjawab untuk memperjuangkan hak-hak orang muda di negara ini.

"Orang muda perlu diberi hak mereka untuk memiliki suara dalam menentukan masa depan negara," katanya.

    0