Mar 19, 20231 min

Dua akta akan dipinda kekang kebencian babit 3R

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil mendedahkan bahawa Raja-Raja Melayu pernah melahirkan rasa dukacita terhadap isu ekstremisme di negara ini yang dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian dalam negara.

Bercakap sebagai tetamu pada program forum bertajuk “Youth Empowerment Through Digital Platforms” di Kuala Lumpur semalam, Fahmi berkata, kegelisahan itu susulan beberapa insiden kebelakangan ini yang melibatkan elemen perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R).

Atas kegelisahan itu Raja-Raja Melayu itu, jelasnya telah dizahirkan pandangan dan nasihat termasuk dengan tidak membenarkan masjid dan surau digunakan sebagai tempat menyebar ideologi politik.

"Disebabkan itu hampir semua majlis agama (negeri) arahkan tidak berpolitik dalam masjid dan surau.

"Saya sudah beritahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan mereka telah mengeluarkan kenyataan mengenai isu 3R sebagai peringatan kepada setiap orang, jaga keselamatan, jaga tertib, jaga adab, jangan langgar," katanya.

Sementara itu Fahmi yang juga Ketua Penerangan KEADILAN turut memaklumkan bahawa kerajaan akan meminda dua akta bagi mengekang kenyataan tidak bertanggungjawab membabitkan 3R.

Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589) itu tegasnya perlu dilakukan selari peredaran masa dan mengambil kira perkembangan teknologi semasa yang telah jauh berubah.

"Pindaan itu nanti juga akan turut melibatkan sesi libat urus bersama Ahli-ahli Parlimen dan kementerian akan menelitinya sebelum ia dijangka dibawa ke Parlimen pada penggal ini atau selewat-lewatnya tahun depan," katanya.

    3