Jun 25, 20201 min

Daroyah letak jawatan, PH bakal lantik Timbalan Speaker DN Selangor baharu - Amirudin Shari

Updated: Jun 26, 2020

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor sedang mengenal pasti calon yang sesuai bagi melantik Timbalan Speaker Dewan Negeri (DN) Selangor yang baharu.

Ini berikutan peletakan jawatan oleh Daroyah Alwi pada 16 Jun lalu, tiga hari selepas ADUN Sementa itu umum keluar dari KEADILAN dan mengalihkan sokongannya kepada Perikatan Nasional (PN).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata PH akan membuat keputusan secara konsensus bersama KEADILAN, DAP dan Amanah bagi mengisi jawatan itu.

"Dr Daroyah telah menghantar surat peletakan jawatannya pada 16 Jun dan kita (PH) akan mencari pengganti beliau,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Pelantikan itu perlu dibuat sebelum persidangan DN Selangor pada 13 Julai ini.

Pada masa sama, Amirudin menganggap tindakan Daroyah dan sekutunya tidak sedikit pun menjejaskan perjuangan KEADILAN.

"Tindakan Daroyah ini kita boleh anggap seperti riak-riak kecil sahaja.

"Kita telah melalui banyak peristiwa di mana pemimpin keluar parti, sebelum ini, dua timbalan presiden dan ketua wanita keluar parti, tetapi kita masih kekal dengan perjuangan," katanya.

    0