Apr 251 min

DAP optimis pertahankan kerusi DUN KKB

Oleh: Abdullah Zaid

DAP optimis Kerajaan Perpaduan mampu mengekalkan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu seperti siri kemenangan pilihanraya sebelum ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, rekod baik Kerajaan Perpaduan dalam memenangi siri PRK membuktikan siri kejayaan itu mampu diteruskan di DUN Kuala Kubu Bharu.

"Walaupun Kerajaan Perpaduan tidak sampai dua tahun tetapi kita berjaya mencapai siri kejayaan bermula daripada DUN Tioman, Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram dan DUN Pelangai, sebab itu saya yakin siri kejayaan ini akan diteruskan di DUN Kuala Kubu Bharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman calon Kerajaan Perpaduan di pekarangan Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu, malam tadi.

Dalam majlis berkenaan, Pang Sock Tao, 31 diumumkan sebagai calon Kerajaan Perpaduan mewakili DAP dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 27 April ini.

Sementara itu, Loke menitipkan penghargaan kepada rakan komponen parti dalam Kerajaan Perpaduan yang bersedia mencairkan pendirian masing-masing demi kestabilan politik.

"Kita mesti bergerak bersatu padu ketepikan perbezaan dan pastikan kemenangan berpihak kepada kita kerana misi pertahankan KKB cukup penting untuk mengekalkan kestabilan kerajaan negeri Selangor.

"Oleh sebab itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua rakan-rakan dalam komponen PH dan BN yang menunjukkan komitmen luar biasa membantu kita pertahankam kerusi ini," ujarnya lagi.

Pakatan Harapan mengetengahkan calon muda Sock Tao sebagai wakil Perpaduan bagi menghadapi PRK DUN Kuala Kubu Baharu 11 Mei depan.

Berpengalaman selama enam tahun dalam bidang politik, calon Perpaduan ini adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) pada 2017.

    1